Wednesday, May 11, 2005

Aku dan Lagu

Sedang aku 'melompat' dari satu webpage ke webpage yang lain, tiba-tiba ternampak link ke artikel yang berbunyi begini; Music And Singing - A Detailed Article. Ini bukan kali pertama aku jumpa artikel macam ni, dah banyak kali rasanya soalan-soalan seumpamanya diutarakan di portal web Islam, tak kisahlah Islam Online ke, Eramuslim ke, rasanya Al-Akhbar pun pernah keluarkan artikel ni dalam salah satu keluarannya. Yang mana satu aku pun dah lupa. Apa-apa pun, mula-mula hati ini rasa macam reluctant nak klik ke link tu, alah perkara biasalah yang dibincangkan agaknya, muzik itu haram kerana ia menjauhkan kita daripada mengingati Allah swt dan membawa kita kepada perkara-perkara kemaksiatan. Pergh, macam senang aja buat ayat tadi, dah terbiasa ikut skema jawapan Pendidikan Islam Tingkatan 5. Tapi sejauh mana aku ambil kisah pasal ayat tadi? Betul ke aku tahu? Betul ke perkara tu biasa bagi aku?

Lepas 10 saat aku terfikir, I guess it makes no harm in reading it again. Deep down aku tahu sebenarnya aku cuba tipu diri sendiri, kereluctantan yang terbit dari hati tadi bukanlah sebab skema jawapan di atas, tapi sebab aku tahu bila baca artikel tu nanti, dia jadi macam fenomena bagai rusa menanduk bukit, bukit tak rosak tanduk yang patah, err salah pepatah, yang itu ditaja oleh pemberita sensasi TV3. Sebenarnya aku lebih gerun kepada seperti meludah ke langit, jatuh splattt ke muka sendiri. Boleh bayangkan tak?

Akupun dengan penuh debaran klik ke link tersebut. Sedang page tu diupload terfikir jugak betapa goyahnya akidah aku ni, nak membersihkan jiwa pun serasa ragu-ragu. Kalah dengan bisikan makhluk merah bertanduk dan berserampang 3 mata tu.

Lup..dup..lup..dup..

(bunyi sebenar jantung kita, bukanlah dup dap dup dap seperti yang diwarwarkan oleh media massa sebelum ni)

Satu persatu perkataan yang ada dalam artikel tu aku baca dengan berhati-hati, sambil mengangguk-anggukkan kepala. Kadang-kadang tersenyum sinis, banyak kali jugak terbit perasaan seperti nak teriak adddoooiii!! dalam jiwa ni dek panahan ayat yang kena tepat dalam hati. There goes the goblet of your saliva on your own face, dear. Serve u just right.

Habis baca, aku duk termenung kejap. Berfikir. Hidup aku dari kecil dah disumbat dengan muzik. Seingat aku masa darjah tiga aku dah hafal lagu-lagu Roxette, duo dari Sweden tu. Suatu hari masa darjah empat English teacher aku tanya siapa yang tahu nyanyi lagu Inggeris waktu kelas B.I, dengan bangga aku angkat tangan. Ada dua orang je yang tahu masa tu, aku dengan Afina. Dua-dua orang luar yang background keluarga bukan orang Dungun, walaupun aku ni kelahiran negeri keropok lekor tu juga. Lepas tu aku ni memilih, tak mainlah lagu Melayu, nak yang international aja. Huh berlagak habis. Sampailah sekarang pun tak ada selera dengan lagu Melayu, kecuali beberapa yang ada "kisah" disebaliknya. Tapi ada pengecualian yang eksklusif pada lagu-lagu dari "seberang". U know who am I referring to.

Minat jadi lebih mendalam bila masuk sekolah menengah. Masa zaman-zaman chatting dulu banyak persahabatan aku bina dengan geng chatting berdasarkan minat yang sama. Pernah seorang kawan chatting dari sekolah agama tegur aku bila aku cakap aku suka lagu Let The Music Heals Your Soul nyanyian Bravo All-Stars. Katanya hanya Allah yang dapat mengubati hati kita bukan muzik. Point taken, tapi lagu tu tetap kadang-kadang meniti-niti di bibir ni. Ketegaq aku nih. Nak dijadikan cerita aku baru dapat tahu kawan lama aku tu letakkan statusnya sekarang sebagai music is my ultimate healerzz. Aku doakan Allah bukakan hatinya untuk renung balik apa yang pernah dia nasihatkan pada aku dulu.

Berbalik pada cerita, bila baca artikel tu terfikir kebenaran poin-poin yang ingin disampaikan. Diterangkan di situ dengan nada dan tona suara yang dilunakkan oleh peti suara (vocal cords) seseorang, dengan mudah kita boleh terpikat dengan individu tersebut, walaupun kita tak tahu macam mana wajah sebenar dia. Terfikir juga macam mana aku boleh minat bebenor dengan lagu-lagu dan juga kumpulan Sheila On 7, Dewa, PeterPan, yang mana in truth kalau nak dibandingkan wajah-wajah vokalis kumpulan-kumpulan tu, tak kurang lebih sikit macam pekerja-pekerja kontrak Indonesia yang buat bangunan dekat KL. Ataupun PATI yang sekali-sekala masuk Buletin Utama TV3, bak kata kawan jauh aku Alif, yakni Pendatang Asing Tanpa Izin. Bila dah jatuh cinta tu semuanya dipandang cantik, tak kisahlah Indon ke apa. Apatah lagi kalau diberi penyanyi-penyanyi kumpulan seperti Il Divo yang tampan lagi kacak belaka tu, lagilah cair dibuatnya.

Dalam artikel tu juga ada diceritakan pasal the physical effects of music yang mana diterangkan sebenarnya bukan saja hanya otak kita yang dapat direct effects dari muzik yang dimainkan malahan juga organ-organ lain di seluruh badan. Yang paling mendapat kesan sekali pastilah otak yang mentafsir input yang diterima dari telinga, kerana itulah pelbagai emosi boleh dilahirkan daripada hanya mendengar satu lagu. Sebab itulah aku rasa remaja belasan tahun boleh meraung habis-habisan bila dengar vokalis kumpulan New Boys nyanyi lagu 'Meraung', agaknya sebab sedih sangat dengar melodi ataupun liriknya, tengok sajalah tajuk lagunya pun dah bunyi Meraung. Tak tahulah macam mana isinya, akupun tak pernah dengar lagu tu sebenarnya. Tapi teringat masa zaman menengah rendah di sekolah menengah dulu, cikgu subjek geografi aku tiap-tiap tahun akan buat pertandingan gubah lagu geografi di mana para pelajar dimestikan untuk cipta lagu yang liriknya berunsurkan geografi tapi bolehlah menggunakan melodi lagu-lagu yang sedia ada. Tujuannya mudah, supaya pelajar lebih ingat fakta-fakta dalam lagu tu. Bertungkus lumuslah aku dengan Anot, tablemate aku masa tingkatan satu cipta lagu, hasilnya kami gubah lagu Aisyah - Janji Manismu kepada fakta geografi berkaitan dengan kawasan tundra. Sampai sekarang aku masih ingat lagu tu, dan juga beberapa lagu lain yang kawan-kawan aku cipta. Ternyata usaha cikgu aku berjaya. Tapi usaha penggubah lirik semasa agaknya lagi berjaya. Sebab itu rasanya aku lagi banyak ingat lirik lagu daripada jenis-jenis virus yang menghasilkan haemorrhagic fever symptoms yang baru saja aku belajar dalam kuliah hari ni.


Ais membeku menandakan
Suhu di tahap beku..ooohh..
Eskimo tinggal di igloo..

(cuba nyanyi menggunakan korus lagu Janji Manismu dendangan Aisyah, masuk tak liriknya?)

Bak kata ustaz, ini bukan lagi kes muzik itu melalaikan. Sebab remaja zaman I.T ni semuanya sudah bijak pandai menguruskan masa. Akupun selalu cakap dalam hati, 'alah, aku tak lalai pun dengar lagu ni, masuk waktu solat aku berhentila dengar.' Dia kata ini sudah jadi kes adakah dengan mendengar lagu Westlife, lepas habis setiap lagu tu, kita ambil pisau kemudian toreh poster-poster Westlife yang ada dekat dinding bilik kita? Atau dengan kata lainnya adakah perasaan benci kita terhadap Westlife makin tebal setiap kali lepas habis dengar seround album Coast to Coast? Skema jawapannya pastilah tidakkan, skema yang ustaz beri pula berbunyi; kerana setiap kali kita dengar lagu-lagu Westlife tu, sikit demi sedikit perasaan suka pada kumpulan Westlife dan lagu-lagunya akan menghakis perasaan benci pada kekafiran dalam hati kita. Minta dijauhkan hendak-Nya.

Aku fikir, entahlah, semuanya ada depan mata. Tinggal nak buat atau tidak. Aku memang lemah, sudahlah asas yang ada masih goyah, nak bersihkan jiwa pun dibayangi keraguan lagi. Nak salahkan keluarga ke? Seingat aku masa kecil dulu Mak tak putus asa ajar kami hal agama, masa raya instead of beri duit raya sebagai ang pau, Mak beri buku-buku nipis tentang kisah para sahabat dan kisah perang pada sepupu-sepapat. Ada lagi tersimpan beberapa buah buku kot di rak buku di rumah tu. Tapi sekarang? Aku hanya mampu tersengih aja bila orang tanya ingat lagi tak pasal Perang Badar? Jadi salah siapa sebenarnya ye?

Kalau dulu para sahabat ketika turunnya perintah bahawa arak itu haram, without questioning semuanya yang tengah teguk arak di tangan terus campakkan botol arak tu. Begitu kuat sekali akidah mereka Rasulullah s.a.w bentuk sampaikan patuh perintah Allah tanpa sekelumit rasa ragu-ragu. Agaknya aku ni bila diberitahu jangan support barang Israel, selagi handphone Nokia tu tak rosak jangan haraplah nak beli handphone baru brand yang lain. Jimat beb. Walaupun dah tahu dan dah tengok macam mana kejinya orang-orang Israel tu bunuh orang Islam, tapi masih tak terdorong nak buat benda yang sepatutnya ye. Hai apalah taraf aku ni kalau dibandingkan dengan umat di zaman Nabi s.a.w dulu agaknya..

Cakap-cakap macam ni memang senang nak buat, tapi nak ubah suatu kebiasaan tu cukup menyeksakan. Sebab pokok pangkalnya akar pohon akidah masih belum cukup tunjang dan kukuh. Tapi mungkin dengan baja yang baik, pesticide yang berkualiti, siraman air yang mencukupi, sikit demi sikit dengan izin-Nya akan menghasilkan dedaun dan buahan yang segar bugar hasil dari akar yang kukuh. Bercakap guna analogi ni macam terlalu idealistik bunyinya, baiklah mari kita jadi lebih realistik. Semoga dengan azam yang kuat dan juga bantuan-Nya, aku dapat ubah persepsi aku terhadap muzik. Tak salah berhibur, cuma perlu kena pada caranya. Minta bantuan rakan-rakan supaya ingatkan aku bila aku lupa. Memanglah aku ni selalu terlupa.

Kepada yang tertanya-tanya mana aku baca artikel tu, silakan baca bersama. Semoga kita dapat ambil iktibar daripadanya. Eh, apa tunggu lagi tu, jom klik di sini.

"Ya Allah, sesungguhnya aku bermohon supaya Engkau melindungi aku daripada kejahatan pendengaranku, pandanganku, pertuturanku, hatiku, dan juga daripada kejahatan mengungkit-ungkit. Amin."